Wednesday, November 26, 2014

Pemimpin muda nak diketengah mesti dah teruji dan naik dari bawah



Generasi muda yang mahu diketengahkan sebagai pelapis perlu tahan diuji dan diberi peluang menimba pengalaman dari bawah sebelum mendaki ke atas. 


Perhimpunan Agung UMNO 2014 (PAU2014) kali ini nampaknya memfokuskan isu penyertaan golongan muda dalam UMNO dalam usaha meremajakan parti keramat yang sudah berusia 68 tahun ini. Usaha yang cukup baik membuktikan keprihatinan UMNO terhadap kepentingan dukungan generasi muda untuk kelangsungan perjuangan parti.

Bagaimana pun haruslah diingatkan dalam pada UMNO begitu teruja mahu meraih sokongan generasi muda untuk meremajakan parti, gerak kerjanya ke arah itu tidak boleh gopoh sangat misalnya dengan mengumpan jawatan segera dalam parti atau sebagai calon pilihan raya hanya semata-mata mahu segera merealisasikannya.

Dalam hal ini UMNO tidak boleh gopoh atau terikut-ikut gerak tari DAP umpamanya yang memberi jawatan segera kepada Dyana Sofea sebagai Setiausaha Politik untuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang kemudiannya dalam usia setahun jagung diangkat pula sebagai calon payung terjun dalam PRK Parlimen Teluk Intan semata-mata mahu menonjolkan parti itu terbuka dan menjadi pilihan orang muda.

Kesannya seperti kita semua maklum bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang dalam DAP serta parti itu hilang penguasaan di satu kerusi Parlimen malah penyokong DAP sendiri mula meragui kredibiliti parti gara-gara mencalonkan seorang budak mentah yang tidak teruji dan tidak berpengalaman bagi mewakili parti.

Itu bukan contoh yang baik untuk menjadi pemimpin berkaliber bagi memimpin parti dan negara kelak. Walaupun ia nampak populis dan memberi nilai tambah sementara kepada DAP namun Pemuda UMNO atau Wanita serta Puteri UMNO tidak harus mencemburui kegopohan DAP dan jangan sesekali mengharapkan peluang segera yang sebegitu.

Perlu ada tertib dan kaedahnya yang tersusun, supaya kelak tidak timbul persepsi buruk yang mengatakan UMNO di sokong orang muda kerana terpaut pada umpan jawatan dan kesenangan semata-mata. Generasi muda yang mahu diketengahkan sebagai pelapis perlu tahan diuji dan diberi peluang menimba pengalaman dari bawah sebelum mendaki ke atas. Ada tertib dan fasanya.

Baca sepenuh di MyKMU SINI

No comments:

Post a Comment