Saturday, December 13, 2014

Hubungan rakyat sama rakyat untuk kukuhkan bangsa serumpun


NGO di Nusantara perlu bersatu

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Nusantara perlu bersatu membangunkan kekuatan baharu sebagai benteng untuk menangani percaturan geopolitik asing termasuk penjajahan ekonomi.

Ketua Umum Laskar Merah Putih (LMP) Indonesia, Adek Erfil Manurung berkata, kekuatan itu boleh dibina bermula dengan kerjasama antara NGO tersebut dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang dipercayai mampu diperluaskan sehingga ke negara-negara ASEAN termasuk di Thailand.

“Kalau kita bersatu, bangsa asing dunia berat untuk mengganggu-gugat dan menjajah ekonomi kita,’’ katanya semasa menjadi ahli panel dalam Forum Antarabangsa anjuran Perkasa bertajuk Pengukuhan Persahabatan Bangsa Serumpun di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Forum tersebut disertai bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad sebagai moderator dan empat lagi ahli panel iaitu Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali; Presiden Perhimpunan Hak Asasi Melayu Singapura, Mohamad Mansor Ab. Rahman; Ketua Kerjasama dan Hubungan Antarabangsa Pertubuhan Muhammadiah, Indonesia, K.H. Muhyiddin dan Setiausaha Persatuan Majlis Agama Islam Wilayah Selatan Thailand (Permai), Abdul Rahman Wasof.


Pada awal bulan lalu, Perkasa mengadakan pertemuan dengan LMP yang mempunyai kira-kira 12 juta ahli di seluruh Indonesia dan sering mengadakan tunjuk perasaan secara agresif di hadapan Kedutaan Besar Malaysia. [Baca laporan Utusan di SINI]

Sementara itu, Mohamad Mansor berkata, masyarakat Melayu di negara serumpun akan musnah seperti apa yang berlaku di Asia Barat apabila kuasa asing dunia dengan mudah memporak-perandakan keadaan akibat tidak bersatu.

Beliau memberikan contoh di Singapura yang satu ketika dahulu milik orang Melayu tetapi kini hilang identitinya akibat tiada kesatuan.

“Sekiranya Melayu tidak bersatu, tidak mustahil mereka akan mengalami nasib sama seperti Singapura,’’ katanya.

K.H. Muhyiddin pula menyatakan kesediaan Pertubuhan Muhammadiah untuk menjayakan usaha penyatuan umat Islam dan Melayu di Asia Tenggara menerusi peningkatan kerjasama di peringkat NGO.

“Jika NGO-NGO Melayu dan Islam ini bergabung, Insya-Allah kita akan menjadi bangsa yang terhormat serta bermartabat,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, dalam konteks ancaman geopolitik, Malaysia merupakan negara anggota ASEAN paling terancam antaranya kerana kedudukannya dari segi geografi dan berdepan dengan pelbagai masalah dalaman.

Beliau percaya kuasa besar dunia terutama Amerika Syarikat mahu mengucar-kacirkan Asia Tenggara khususnya Malaysia atas agenda-agenda tertentu.

“Maka sebab itu, kita akan membina persahabatan untuk mengukuhkan bangsa serumpun.’’

“Kita akan membina satu gagasan sebagai kebangkitan semula bangsa serumpun,’’ katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment